Assalamualaikum dan salam sejahtera
Pada yang dah pernah bersalin mesti dah tahu rasa kontraksi nak bersalin kan..tapi pada yang pertama kali nak bersalin masih tertanya-tanya lagi macam mana sebenarnya rasa kontraksi tersebut.
Macam yang pernah saya share sebelum kadang-kadang kontraksi palsu boleh berlaku. Jadi kali ini saya nak share beberapa tips untuk kenali kontraksi sebenar supaya anda lebih bersedia.
Ada yang mengatakan kontraksi bersalin adalah seakan-akan senggugut. Kontraksi bersalin adalah keadaan di mana otot uterus yang menguncup dan meregang. Ia digambarkan seperti rasa memulas yang bermula daripada bahagian belakang dan membawa ke bahagian hadapan abdomen. Ada juga yang mengatakan kontraksi bersalin adalah seperti tekanan pada bahagian belakang.
Semasa kontraksi, bahagian abdomen menjadi keras. Kontraksi membantu kelahiran dengan melembutkan bahagian atas uterus (fundus) untuk menguncup dan menebal manakala bahagian bawahnya meregang dan relaks. Keadaan ini membantu bayi meluncur dari dalam uterus ke laluan serviks untuk dilahirkan.
LANGKAH MENGIRA
Sebagai ibu kali pertama atau pertama kali bersalin secara normal, kontraksi sukar untuk dibezakan dengan perkiraan kasar. Maka, langkah-langkah tertentu perlu diambil untuk mengenal pasti kontraksi yang dirasakan. Antara langkah yang perlu diambil ialah seperti berikut;
1) Jangka masa
Anda boleh membezakan antara kontraksi hendak bersalin dan kontraksi palsu (Braxton Hicks) dengan cara mengira sela masa antara kontraksi pertama dan kontraksi kedua. Sekiranya ia menunjukkan bacaan masa yang berbeza dan tidak teratur, maka ia adalah kontraksi Braxton Hicks. Kontraksi sebenar akan berlaku dalam jarak masa lima minit dengan kontraksi berikutnya. Ia berlaku teratur dan setiap kontraksi berlangsung selama kira-kira 60 saat.
2) Catatan
Catat masa dan tempoh kontraksi berlangsung pada sekeping kertas untuk membolehkan anda mengenal sama ada kontraksi palsu atau sebenar.
3) 5 minit atau kurang
Sekiranya kontraksi seperti di atas iaitu berlaku pada sela masa lima minit sekali atau kurang, maka anda sedang berada dalam fasa kelahiran aktif. Jangan berlengah. Sila ke hospital dalam kadar segera kerana ia kontraksi bersalin yang sebenar sudah berlaku.
Jom ketahui 5 tanda-tanda waktu bersalin anda semakin hampir tiba
Tanda-tanda di bawah mungkin akan anda alami dalam tempoh seminggu hingga empat minggu sebelum bersalin.
1) Bayi anda hampir keluar
Beberapa minggu sebelum anda bersalin, kepala bayi anda akan menghampiri kawasan pelvis anda sebagai tanda dia bersedia untuk keluar. Ketika ini anda akan mengalami simptom kerap membuang air kecil, sama seperti semasa anda berada pada trimester pertama.
2) Serviks terbuka
Serviks anda juga akan bersedia untuk kelahiran, ia mula untuk terbuka beberapa hari atau minggu sebelum bersalin.
3) Kejang dan sakit belakang
Anda akan mula merasai kekejangan pada perut dan sakit belakang sewaktu hampir bersalin. Otot dan sendi anda meregang dan bergerak sebagai persediaan menghadapi kelahiran.
4) Sendi rasa longgar
Sepanjang kehamilan, hormon relaksin membuatkan ligamen otot anda lebih lembut dan longgar. Sebelum tiba waktu bersalin, anda dapat merasakan sendi-sendi anda semakin longgar.
5) Cirit-birit
Oleh sebab otot pada rahim anda sedang dalam persediaan untuk bersalin, otot-otot pada tubuh lain juga sama. Hal ini menyebabkan pergerakan usus anda longgar. Anda akan mengalami cirit-birit sewaktu hampir bersalin. Jadi pastikan anda terhidrat dan ingatlah, ini merupakan petanda yang baik.
Wasalam