Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Ada satu contoh situasi yang mana terjadinya kontraksi palsu.
“Menjelang tarikh jangkaan bersalin dua minggu lagi, Shafini mengalami kontraksi. Dia fikir, masa bersalin sudah tiba sehingga mengambil keputusan ke hospital kerana panik.
Setelah diperiksa, serviksnya belum terbuka. Selang beberapa hari, kontraksi tersebut datang lagi dan kali ini ia lebih tegang meski pun ritma tidak teratur. Sekali lagi dia ke hospital. Namun, doktor menyuruhnya pulang dengan alasan masa bersalin Shafini belum tiba”.
Untuk situasi di atas, kontraksi sebegini dikenali sebagai kontraksi palsu. Ia juga dikenali sebagai Braxton Hicks. Hal inilah yang berlaku kepada Shafini sebelum ini.
Semakin hampir dengan tarikh jangkaan, kontraksi Braxton Hicks ini akan semakin kuat dan kerap.
Kontraksi ini palsu sehingga sesetengah wanita tersalah anggap menyangka proses kelahiran sudah bermula dan bakal bersalin dalam masa terdekat. Ada yang sudah ke hospital tetapi diarahkan pulang ke rumah kerana ia hanyalah Braxton Hicks.
Kenapa kontraksi Braxton Hicks berlaku?
Kontraksi Braxton Hicks mungkin petanda yang uterus anda sedang melatih otot-ototnya. Mungkin kontraksi-kontraksi itu adalah cara uterus anda berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk bekerja keras bila tiba masa bersalin.
Ada pakar-pakar yang berpendapat bahawa kontraksi-kontraksi mempengaruhi serviks anda. Pada peringkat awal kelahiran, serviks anda mula memendek dan menjadi lebih lembut sebagai persediaan untuk mengembang bagi menyenangkan perjalanan bayi. Jadi mungkin kontraksi Braxton Hicks adalah cara serviks dilatih bagi peringkat ini.
Yang lain pula percaya bahawa kontraksi Braxton Hicks tidak membawa perubahan kepada serviks dan juga percaya bahawa perubahan hanya berlaku semasa pra-kelahiran, apabila kontraksi yang berkoordinasi bermula atau semasa proses kelahiran itu sendiri.
Perbezaan antara kontraksi Braxton Hicks dan kontraksi kelahiran sebenar.
Kontraksi Braxton Hicks:
- Tidak melebihi satu atau dua kali dalam masa sejam, beberapa kali sehari
- Lazimnya berhenti bila anda bertukar aktiviti, jadi pergilah berjalan kalau anda berduduk, dan sebaliknya
- Tidak teratur, dan jika teratur pun hanya untuk sekejap sahaja
- Tidak tahan lama, biasanya kurang dari satu minit
- Terus tidak boleh diduga dan tidak beritma
Kontraksi yang sebenar:
- Lebih lama
- Lebih teratur
- Lebih kerap
- Lebih menyakitkan
- Lebih panjang dan lebih berkala, lebih kerap dan lebih sakit.
Anda mungkin juga mengalami sakit kelahiran palsu. Ini berlaku bila kontraksi Braxton Hicks lebih kerap, iaitu mungkin setiap 10 hingga 20 minit pada peringkat terakhir kehamilan.
Mungkin sukar bagi anda membeza sakit kelahiran palsu dengan yang benar, terutamanya jika kerengangan uterus sungguh tidak selesa.
Tetapi, sakit kelahiran palsu tidak akan membawakan sebarang perubahan pada serviks anda. Doktor anda boleh membuat pemeriksaan vagina untuk menentukan.
Apa akan jadi jika kontraksi Braxton Hicks menjadi lebih sakit?
Apabila kehamilan anda berlalu, kontraksi ini mungkin menjadi lebih sakit dan kadangkala amat tidak selesa. Walau bagaimanapun, jika anda merasakan kontraksi anda menjadi reda dengan cara apapun, kemungkinan besar ianya Braxton Hicks.
Setengah profesional kesihatan mengesyorkan supaya anda menganggap Braxton Hicks sebagai “latihan kontraksi” bukan saja bagi uterus anda, juga bagi anda sendiri supaya boleh berlatih menggunakan latihan pernafasan yang anda akan memperolehi di kelas antenatal anda.
Anda mungkin sedar yang kontraksi datang dengan lebih kerap jika anda melakukan aktiviti fizikal walaupun ringan, seperti membawa barang beli-belah dari kereta. Jika anda merasa kurang selesa, kadangkala ianya akan berkurangan jika anda berbaring, atau sebaliknya, bangun dan pergi berjalan-jalan – perubahan aktiviti yang akan meredakan sebarang kesakitan yang dirasakan. Kadangkala mandi air panas juga membantu.
Jika kontraksi menjadi lebih panjang dan kuat, lebih berkala dan kerap, ini menunjukkan proses kelahiran mungkin sudah bermula. Doktor anda mungkin sudah bercakap dengan anda tentang apa harus dilakukan apabila anda merasakan yang kelahiran sudah bermula, tetapi jika anda merasakan sebarang keraguan, hubungilah doktor anda untuk pengesahan.
Sampai berjumpa di artikel yang lain ye.
Wasalam.