Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Kanak-kanak memerlukan tidur yang cukup untuk berehat dengan baik. Biasalah dorang ni kan sangat aktif dan bertenaga jadi mereka memang perlukan rehat yang cukup dan rehat yang cukup tu bermaksud mereka kena tidur lena.
Tidur yang cukup dan berkualiti penting untuk perkembangan otak mereka. Mengikut England National Health Service, kanak-kanak berumur 5 hingga 9 tahun memerlukan 10-11 jam tidur.
Apa akan jadi kalau kanak-kanak tak cukup tidur? Sesetengahnya mudah meragam, mengganggu prestasi di sekolah, tidak bermaya dan juga kurang bersemangat.
Jadi, saya nak kongsikan tips mudah untuk kita praktikkan di rumah supaya anak-anak kita dapat tidur yang secukupnya.
1) Jauhkan segala jenis peralatan elektronik
Handphone, ipad, PSP ataupun televisyen boleh menyebabkan si anak tidur lambat. Cahaya lampu biru dari skrin tv pula boleh menyebabkan sistem badan tersalah tafsir waktu siang dan menyekat penghasilan hormon tidur iaitu melatonin. Cuba alihkan dan tutup semua peralatan ini sebaiknya sejam sebelum waktu tidur anak bagi memastikan tidur yang lebih lena.
2) Pastikan suhu bilik dalam keadaan yang selesa
Suhu bilik terbaik adalah di antara 18-22 darjah Celsius. Ianya membuatkan si anak lebih mudah tidur dan selesa. pastikan juga pakaian anak tidak terlalu nipis (dikhuatiri kesejukan) dan tidak terlalu tebal supaya tidak berpeluh dan panas.
3) Tentukan rutin harian
Jadualkan waktu tidur pada masa yang sama setiap malam dan ulangi rutin yang sama setiap hari. Lakukan aktiviti yang mudah dan ringkas sebelum tidur seperti mengemas beg sekolah, menggosok gigi dan membaca doa sebelum tidur. Peluk dan cium anak sebelum meninggalkan bilik mereka.
4) Pastikan anak melakukan aktiviti fizikal
Di waktu siang, pastikan anak menggunakan sepenuh tenaganya dengan aktiviti fizikal. Aktiviti seperti bermain di taman, berbasikal dan beriadah bukan sahaja baik untuk kesihatan malah memastikan tenaga mereka digunakan sebaiknya. Elakkan sebarang aktiviti menjelang waktu tidur.
5) Konsisten dengan jadual
Setelah kita tetapkan rutin dan jadual tidur anak, pastikan kita konsisten melakukannya setiap hari tanpa gagal. Elakkan membenarkan anak tidur lewat ketika waktu cuti sekolah atau hujung minggu. Teruskan dengan jadual waktu yang teratur agar anak dapat tidur yang cukup dan berkualiti.
Semoga bermanafaat!