Bahayakah Anak Gemar Makan Coklat?

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Umum mengetahui coklat memang di gemari oleh semua golongan, tak kira yang kanak-kanak atau orang dewasa.

Tapi kebanyakan makanan yang ditambah dengan perisa coklat pada hari ini biasanya mengandungi tinggi gula, lemak dan kalori.

Pengambilan coklat yang berterusan terutamanya dalam kuantiti yang tidak terkawal akan meningkatkan risiko kanak-kanak menjadi lebih berat badan dan obes.

Antara kesan-kesan yang kurang baik dari pengambilan coklat yang berlebihan ialah:

1. Sekiranya mereka makan terlalu banyak makanan ringan seperti coklat, mereka mungkin tidak berselera atau terlalu kenyang untuk makan atau cuba makanan lain yang padat dengan zat-zat yang diperlukan dan menyebabkan ketidakseimbangan nutrisi.

2. Selain itu, coklat juga merupakan sumber kafein. Coklat yang berlebihan mungkin menyebabkan sesetengah kanak-kanak berasa gugup, menghadapi masalah untuk tidur lena dan mengalami denyutan jantung yang cepat.

3. Coklat juga akan menyebabkan kanak-kanak menghadapi masalah kerosakan gigi lebih awal sekiranya mereka tidak kerap menggosok gigi.

Walaupun kita tahu coklat adalah makanan yang kurang sesuai untuk kanak-kanak, tetapi hakikatnya kanak-kanak memang gemar dengan makanan manis seperti coklat, gula-gula dan aiskrim.

Oleh itu, adalah penting ibu bapa meneroka cara-cara untuk menangani tabiat makan anak.

Anda boleh cuba cara-cara di bawah sekiranya anak anda mempunyai tabiat meminta coklat setiap hari.

1. Menghidangkan makanan atau minuman dengan perisa asal atau makanan lain seperti yogurt, bijiran penuh dan buah-buahan.
2. Mempelbagaikan resipi. Contohnya menambah coklat dalam minuman perisa asal supaya dapat mengawal kalori.
3. Kurangkan pembelian atau penyimpanan makanan atau minuman coklat di rumah.
4. Sekiranya masih ada coklat di rumah, simpan coklat di tempat yang tidak mudah dilihat.
5. Beli makanan atau minuman coklat yang kecil pembungkusannya atau bungkusan individu.
6. Menetapkan peraturan ambil coklat. Contohnya, hanya satu kali sahaja setiap hari dan perlu gosok gigi selepas makan coklat.
7. Ahli keluarga juga perlu menjadi teladan dan tidak makan coklat, terutamanya di depan kanak-kanak.

Harap artikel ini bermanfaat untuk puan-puan ye.

Wasalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *