8 Khasiat Buah Delima

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Buah delima telah menjadi amalan kesihatan sejak dari zaman dulu lagi.

Ia dianggap amat bagus bagi ibu mengandung dan juga untuk kesihatan umum. Malah, ia turut diangkat sebagai simbol kesuburan, seperti yang dinyatakan dalam kajian melalui jurnal-jurnal perubatan.

Oleh itu, mari kita ketahui kelebihan buah delima untuk ibu hamil.

1. Kaya dengan serat

Ibu mengandung lebih mudah berasa tidak selesa perut dan terkena sembelit. Ambil langkah selamat dan semulajadi dengan pengambilan buah delima.

Pengambilan buah delima untuk ibu hamil dapat membantu melancarkan pergerakan usus agar lebih selesa.

2. Tinggi kandungan zat besi

Selain serat, ibu mengandung juga perlu nutrien zat besi untuk penghasilan sel darah merah yang banyak.

Sel darah merah amat penting untuk perkembangan bayi dan bagi mengelakkan komplikasi seperti anemia dan bayi pra-matang.

3. Mengurangkan risiko pre-eklampsia

Semua wanita inginkan waktu kehamilan yang lancar sehingga waktu kelahiran. Antara nutrisi lain yang terkandung dalam buah delima ialah khasiat zat fitokimia.

Kajian menunjukkan zat fitokimia sangat baik untuk jantung serta mampu mengawal paras darah tinggi seseorang.


4. Mengelakkan kekejangan dan lenguh badan
Buah delima untuk ibu hamil juga amat digalakkan kerana kandungannya kaya dengan elemen kalium.

Badan yang selama ini kejang dan mudah lenguh sejak mengandung dapat dipulihkan dengan pengambilan buah delima dalam diet harian. Kandungan kalium dalam buah ini juga dapat membantu pengimbangan elektrolisis dalam badan bagi kesihatan menyeluruh.

5. Menguatkan tulang
Selain Vitamin C, buah delima juga diperkaya dengan Vitamin K. Vitamin K dapat membantu menguatkan tulang si ibu dan pembentukan tulang yang sempurna bagi perkembangan bayi. Selain fungsinya untuk menguatkan tulang, vitamin K juga berperanan untuk mempercepat proses pemulihan darah dan tisu pada badan.

Ini bermakna buah delima mampu memberi khasiat sewaktu hamil dan selepas melahirkan anak kerana kandungan vitamin K yang dapat membantu menyihatkan badan dengan cepat selepas bertarung melahirkan anak. Kekurangan vitamin K juga dikhuatiri menyebabkan komplikasi kehilangan banyak darah sewaktu melahirkan anak.

6. Padat dengan asid folik

Kandungan asid folik dalam buah delima ini mampu mengurangkan risiko perkembangan bayi secara tidak normal seperti komplikasi kecacatan tiub saraf pada tulang belakang janin. Secawan jus delima sudah merangkumi satu perempat jumlah asid folik yang diperlukan untuk ibu mengandung.

7. Sumber antioksida
Kandungan antioksida tinggi dapat memulihkan radikal bebas yang memberi mudarat pada plasenta. Antioksida khusus pada buah delima iaitu polifenol dapat membantu melindungi otak bayi daripada kekurangan oksigen sewaktu saat melahirkan.

Selain itu, kandungan antioksida pada buah delima juga dapat menguatkan sistem imunisasi pada badan yang sedang berusaha membesarkan kandungan.

8. Kaya dengan vitamin C
Kandungan vitamin C yang tinggi amat ideal bagi pengambilan ibu mengandung. Selain khasiatnya yang pelbagai seperti memulihkan tisu-tisu badan, mencegah risiko kanser, dan mengawal kolesterol, ibu mengandung dapat kebaikan vitamin C dengan fungsi badan yang lebih baik untuk menyerap zat besi dan nutrisi lain dengan lebih berkesan.

Dengan cara ini, badan lebih mudah menyerap zat besi dari makanan atau supplemen untuk perkembangan bayi.

Selain ibu mengandung, buah delima juga mampu membekalkan khasiat pada seisi keluarga.

Semoga kita jumpa di artikel yang lain pula ye 🙂

Wasalam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *