Assalamualaikm dan salam sejahtera,
Perubahan hormon pada awal kehamilan dan perubahan ukuran perut kerap kali menimbulkan rasa keletihan bagi ibu hamil.
Keletihan pada ibu hamil ini adalah hal biasa yang terjadi kerana tubuh bekerja keras untuk pertumbuhan dan perkembangan janin.
Tidak hairan jika ada yang tidak dapat mengawal rasa mengantuk dan letih sehinggakan terlena walaupun ketika itu sedang bekerja di pejabat.
Jika dibiarkan ia sedikit sebanyak boleh mengganggu produktiviti anda di pejabat. Jadi, apa langkah terbaik yang mesti dilakukan? Sebelum itu anda perlu memahami apa yang berlaku pada badan ketika proses awal kehamilan berlaku.
Cuba lakukan beberapa tip berikut untuk mengurangkan rasa letih dan mengantuk :
1. Tidur awal
Sudah tentu anda tidak boleh tidur di waktu siang pada hari bekerja, jadi sebaiknya masuk tidur lebih awal daripada biasa pada waktu malam.
Jika anda dihantar oleh suami ke pejabat, anda boleh ambil peluang masa dalam perjalanan ke tempat kerja atau pulang ke rumah untuk melelapkan masa seketika. Ia membantu anda berasa lebih segar.
2. Jika boleh minta kerja dari rumah
Jika pejabat membenarkan anda bekerja dari rumah, jangan lepaskan peluang tersebut. Anda boleh bekerja dengan lebih selesa dari rumah dalam keadaan yang tidak stabil di awal kehamilan.
Jika tiada peluang tersebut, mungkin anda boleh ambil cuti seminggu sekali supaya tidak terlalu berat menjalani hari-hari kerja. Elakkan daripada bekerja luar pejabat jika tidak perlu.
3. Amalkan pemakanan yang sihat
Amalkan sayur-sayuran, buah-buahan serta daging tanpa lemak boleh memberi tenaga tambahan. Makanan ringan hanya membuatkan tenaga anda cepat berkurangan.
Jika tiada selera makan, biasakan makan dalam kuantiti yang kecil tetapi kerap. Jangan lewatkan waktu makan. Sentiasa bawa snek berkhasiat yang boleh dimakan pada bila-bila masa.
4. Ambil banyak air
Banyak minum air. Apabila badan kekurangan air, anda akan semakin mudah letih dan tidak bertenaga. Oleh itu pastikan sentiasa membawa botol air masak ke mana sahaja anda pergi. Ia membantu melancarkan pengaliran darah dan baik untuk kesihatan janin serta keadaan air ketuban dalam rahim.
5. Cuba lakukan aktiviti ringan
Jika berasa mengantuk ketika di pejabat, cuba berjalan seketika atau buat senaman ringan di meja sambil mengatur pernafasan.
Ketika mengandung inilah anda akan berasa lebih kerap sakit belakang dan kaki. Jika pekerjaan anda perlukan banyak bergerak, duduklah bila ada kesempatan. Dapatkan bantuan untuk kerja-kerja di pejabat. Dapatkan tidur dan rehat bila berkesempatan.
Jadi, jangan terus-menerus bekerja tanpa menghiraukan keletihan kerana ia juga boleh menjadi petanda penyakit lain seperti anemia atau kurang gula dalam darah.
Harap artikel ni dapat membantu ibu-ibu hamil yang berkerja untuk mengurangkan rasa letih.
Wasalam.