Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Penambahan berat badan masa hamil perlu di pantau terutamanya jika anda sudah mengalami obesiti sebelum hamil.
Ibu perlu menjaga pengambilan makanan tapi bukan bermaksud mengehadkan pemakanan sehingga boleh membahayakan bayi yang ada dalam kandungan anda.
Ambil makanan yang lebih sihat seperti lebihkan sayur-sayuran dan juga buah-buahan, kurangkan pengambilan snek ringan dan boleh tukarkan dengan snek yang lebih sihat.
Berikut merupakan kenaikan berat badan yang disarankan masa hamil:
- Bagi ibu yang mempunyai berat badan kurang (underweight) sebelum hamil, BMI kurang dari 18.5 kg, disarankan untuk menaikkan berat badan antara 13-18 kg selama hamil.
- Bagi ibu yang mempunyai berat badan normal sebelum hamil, BMI antara 18.5-24.9 kg, disarankan untuk menaikkan berat badan sebesar 11.5-16 kg selama hamil.
- Bagi ibu yang mempunyai berat badan lebih (overweight) sebelum hamil, BMI antara 25-29.9 kg, disarankan untuk menaikkan berat badan sebesar 7-11.5 kg selama hamil.
- Bagi ibu yang mengalami obes sebelum hamil, BMI lebih dari 30 kg, disarankan untuk menaikkan berat badan 5-9 kg selama hamil.
- Bagi ibu yang hamil anak kembar, disarankan untuk menaikkan berat badan sebesar 11.5-24.5 kg selama hamil.
Jika jumlah BMI anda tinggi sebelum anda hamil, anda perlu cuba mengehadkan jumlah berat yang ditambah, Menambah lebih banyak berat tidak baik untuk anda dan juga bayi. Ia boleh meningkatkan risiko anda mengalami beberapa komplikasi semasa hamil dan juga masa melahirkan nanti.
Antara komplikasi yang mungkin berlaku:
1. Diabetes
Masalah ini disebabkan peningkatan gula dalam darah sepanjang kehamilan dan badan tidak dapat mengawal kandungan glukos dalam darah. Ibu perlu menjalani ujian darah (MGTT) untuk menentukannya.
Diabetes boleh menyebabkan keguguran, jangkitan kuman di bahagian sulit yang kerap, air ketuban berlebihan, pre eklampsia, kegagalan buah pinggang, berat badan bayi melebihi 4kg, kecacatan saraf tunjang dan jantung bayi, hypoglycaemia (kurang glukos dalam darah) dan lemas semasa lahir.
Walaupun ibu menghidap diabetes, ibu masih boleh menjalani kehamilan yang sihat asalkan mengikuti saranan doktor dan mematuhi temujanji pemeriksaan antenatal dan rawatan yang ditetapkan. Ibu juga perlu menjaga pemakanan seharian.
2. Tekanan Darah Tinggi
Jika ibu mengalami tekanan darah tinggi selepas minggu ke-20 tetapi di dalam ujian air kencing tiada protein, ibu didiagnos sebagai gestational hypertension ataupun hipertensi. Tekanan darah tinggi jika tidak dikawal boleh menyebabkan sawan kepada ibu, pra eklampsia, uri terpisah dari rahim ataupun placenta abruption, strok, sesak nafas, fungsi buah pinggang dan hati terjejas, serta darah gagal membeku.
Kesan kepada bayi pula antaranya tumbesaran terbantut di dalam kandungan, kelahiran pramatang, kelahiran kurang berat badan dan juga boleh menyebabkan kematian di dalam kandungan.
3. Pra Eklampsia
Masalah ini adalah masalah kompleks yang didiagnosis jika anda menghidap tekanan darah tinggi dan juga terdapat kandungan protein di dalam urin selepas minggu ke-20. Pra Eklampsia boleh menyebabkan saluran darah menyempit, lalu meningkatkan tekanan darah dan mengurangkan pengaliran darah ke seluruh tubuh ibu.
Dalam kes-kes tertentu, ia boleh menyebabkan ibu mengalami kerosakan organ, perkembangan bayi terbantut kerana kesukaran menerima zat pemakanan, air ketuban kurang dan juga uri terpisah dari rahim yang boleh menyebabkan bayi meninggal di dalam kandungan.
4. Neural Tube Defect (NTD)
NTD merupakan masalah berkaitan dengan perkembangan otak dan saraf tunjang bayi. Walaupun risikonya cuma 0.1% namun jika berbadan besar, risiko ke atas bayi tetap ada.
Bagi mengelakkan masalah ini terjadi, ibu perlu mengamalkan suplemen asid folik sebaiknya 3 bulan sebelum dan sepanjang kehamilan. Ibu boleh meminta doktor menjalankan ujian darah triple-screen pada minggu ke-15, ujian imbasan dan amniosentesis untuk mengenalpasti NTD.
5. Bayi Besar
Bayi berisiko besar jika ibu menghidap diabetes atau melepasi tarikh jangkaan bersalin. Ibu boleh membuat ujian imbasan untuk memantau berat bayi dan mengetahui jangkaan berat bayi.
Apa yang ibu boleh lakukan adalah pastikan ibu melakukan ujian tahap gula dalam darah mengikut apa yang diarahkan oleh doktor dan juga berbincang dengan doktor tentang pilihan bersalin yang ada.
Tetapi jangan pula anda cuba berdiet, dapatkan lah nasihat daripada doktor mengenai pengambilan makanan yang baik dan sihat.
Pelan pemakanan yang sihat akan memastikan anda tidak menambah berat badan terlalu banyak dan membuatkan anda dan bayi gembira dan sihat.
InsyaAllah nanti saya akan share pula tips-tips mudah untuk mengawal berat badan sepanjang kehamilan.
Wasalam