Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Sememangnya menjadi lumrah bagi wanita yang sudah berkahwin untuk merasai pula nikmat hamil dan bergelar ibu.
Biarpun ramai ibu hamil yang menceritakan betapa teruknya tempoh kehamilan mereka kerana mengalami pelbagai perubahan emosi dan fizikal tetapi ada beberapa perkara menyeronokkan yang hanya boleh dinikmati oleh ibu hamil.
Ketahui 6 Keseronokkan Apabila Anda Bergelar Ibu Hamil!
1. Boleh beribadat kepada Allah SWT
Inilah peluang bagi wanita untuk melebihkan amal ibadah kepada Allah SWT kerana sepanjang mengandung sudah tentu anda tidak datang haid. Apa kata anda ambil peluang yang ada ini untuk melipat gandakan amal ibadat berbanding sebelum mengandung dulu. Apatah lagi ibu mengandung sangat digalakkan membanyakkan solat sunat, membaca al-Quran, berzikir, berpuasa sunat yang sememangnya baik sebagai rangsangan kepada janin dalam kandungan. Bukan semua wanita berpeluang menikmati saat hamil, jadi gunakan peluang yang ada untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah selain banyakkan bersyukur atas nikmat yang dikurniakan.
2. Tak perlu tengok kalendar
Biasanya wanita akan memeriksa kalendar apabila ‘bersama’ dengan suami untuk memastikan ia bukan pada tarikh subur mereka. Tetapi apabila diri sudah disahkan mengandung, tak perlulah risau atau asyik hendak mengira tarikh di kalendar. Sudah tentu anda tidak perlu lagi risau melakukan hubungan intim dengan suami tanpa perlu lagi melihat kalendar!
3. Selamat tinggal senggugut
Jika dulu mungkin anda akan berubah emosi setiap bulan apabila datang haid. Maklum sahaja, ketidakselesaan dan kesakitan yang dialami saat datang haid hanya para wanita sahaja yang mengetahui. Tetapi apabila sudah disahkan mengandung, anda boleh ucap selamat tinggal kepada senggugut. Tiada lagi rasa sakit pinggang akibat senggugut setiap bulan sehinggakan sukar untuk melakukan rutin harian. Nikmati ia sepanjang mengandung.
4. Layanan istimewa
Mungkin keseronokkan ini dapat dinikmati apabila perut anda semakin menyerlah. Pergi ke mana sahaja pasti orang lain akan memberi keutamaan dan layanan istimewa kepada ibu hamil. Itu yang seronoknya bergelar ibu hamil! Senyum sahajalah sambil ucapkan terima kasih.
5. Shopping keperluan baru
Kalau anda sudah lama tidak membeli belah keperluan sendiri, maka inilah peluang untuk membeli barangan baru. Oleh kerana ibu hamil sudah mengalami perubahan saiz badan maka sudah tentu anda memerlukan bra, seluar dalam, seluar, pakaian dan kasut baru. Jadi, tunggu apa lagi cepat ajak Encik suami pergi ‘shopping’.
6. Dapat perhatian lebih
Inilah peluang untuk anda mendapat perhatian lebih daripada suami. Masa mengandung isteri boleh bermanja lebih dengan suami. Jika teringin makan sesuatu, cepat sahaja suami akan carikan. Kalau mengadu lenguh badan atau sakit kaki, segera suami tolong urutkan dan lagi ‘best’ suami suruh isteri banyak berehat di rumah. Segala kerja rumah dia bereskan. Sebenarnya kalau dalam Islam pun memang suami digalakkan beri perhatian dan menjaga kebajikan isteri yang sedang mengandung.
Wassalam.