Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Kesibukan tugas harian kadang kala membuatkan anda dan keluarga semakin jauh terutamanya bagi yang tinggal di bandar.
Berapa kali dalam seminggu anda makan bersama dengan keluarga di rumah?
Cuba jadikan amalan makan bersama sebagai momen penting untuk anda dan keluarga.
Disini ada 7 tips atau cara nak kekalkan rutin makan bersama keluarga, antaranya:
1. Ajak semua ahli keluarga untuk terlibat dalam pemilihan menu. Bagi mama yang sibuk bekerja, pasti lebih mengetahui makanan kegemaran si kecil dan pasangan. Papa pula jangan lupa untuk turut membantu urusan mama di dapur.
2. Jika anda mempunyai anak yang masih kecil, gunakan kerusi makan khas untuk mereka dapat makan dengan lebih teratur dan tidak makan sambil bermain.
3. Libatkan anak-anak dan pasangan dalam proses penyediaan makanan, ia bukan sahaja dapat mempercepatkan waktu makan anda, malah juga dapat mengajar anak-anak erti tanggungjawab di samping mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang ada.
4. Setelah semuanya ada di meja makan, jangan lupe untuk berdoa bersama. Penting untuk anda menunjukkan contoh yang baik kepada si kecil selain untuk mendapatkan keberkatan dalam setiap rezeki yang ada.
5. Waktu makan adalah waktu yang sesuai untuk anda dan keluarga bertanya khabar tentang aktiviti harian. Papa dan mama boleh memulakan perbualan dengan pertanyaan ringkas mengenai aktiviti anak-anak. Secara tidak langsung, ketika makan anak-anak dapat mengadu dan bercerita tentang hari mereka.
6. Tunjukkan kasih sayang dengan saling melayani antara anggota keluarga seperti mengambil lauk, menuangkan air dan sebagainya. Bagi yang mempunyai anak yang masih kecil dan belum boleh makan sendiri, suapkan mereka kerana dengan cara itu mereka pasti merasakan amat disayangi.
7. Waktu makan adalah masa yang sesuai untuk anda ajarkan anak-anak dengan etika di meja makan. Contohnya jangan cakap ketika makanan penuh di dalam mulut, tidak mengunyah dengan mulut terbuka dan bersuara, tidak mengambil makanan yang jauh dari tempat duduk tetapi minta tolong diambilkan dengan mengucapkan terima kasih, gunakan tisu atau tuala pengelap mulut bukan dengan tangan. Ilmu sebegitu penting dan harus dimulakan dari rumah bagi mempersiapkan anak-anak untuk kehidupan masa hadapan.
7 Tips Cara Kekalkan Rutin Makan Bersama Keluarga. by Fina Affaidi