Tag Archives: hubungan kelamin

Hubungan kelamin selepas bersalin cesarean – bilakah boleh dilakukan?

Salam semua,

Hari ini saya menerima soalan dari Ina- salah seorang pengunjung blog bengkung moden tentang bilakah waktu dibenarkan untuk mengadakan hubungan kelamin dengan suami selepas bersalin cesarean.

Soalan dari Ina adalah seperti berikut :

Saya baru bersalin 17hb Nov yang lalu.saya ingin bertanya bila kah masa yang sesuai untuk saya melakukan hugungan kelamin semula.harap Kak faz dapat memberkan jawapannya.Untuk pengetahuan kak faz saya bersalin anak sulong secara caeserean. selain itu adakah hubungan saya bersama suami sama seperti sebelum mengandung kerana bahagian bawah saya tidak diusik. Dan adakah saya perlu menjaga makanan saya selepas berpantang berbanding bersalin secara normal

Kepada Ina, terima kasih kerana mengunjungi blog bengkung moden dan tahniah atas kehadiran cahaya mata pertama. Berkenaan soalan Ina tentang bilakah masa yang sesuai untuk mengadakan hubungan kelamin selepas bersalin cesarean, sebaik-baiknya pastikan yang berikut :

1. Darah nifas telah kering dan mandi hadas telah dilakukan. Bagi mereka yang tidak mempunyai pengalaman bersalin cesarean, sebenarnya bersalin cesarean juga sama seperti bersalin normal dimana  akan ada darah nifas selepas bersalin. Sewajar dengan hukum agama Islam, seseorang wanita hendaklah mandi hadas besar apabila darah nifas telah kering sebelum hubungan kelamin boleh dilakukan dengan suami.

2. Luka cesarean telah sembuh. Luka cesarean biasanya akan sembuh 2 bulan selepas bersalin cesarean. Jadi, sebaik-baiknya lakukan hubungan kelamin selepas 2 bulan.

Berkenaan adakah hubungan kelamin selepas bersalin cesarean akan sama seperti sebelum mengandung, ia bergantung kepada faktor-faktor berikut :

1. Perubahan hormon – biasanya bagi ibu-ibu yang menyusukan bayi (breastfeed) akan menghadapi sedikit masalah disebabkan pengeluaran cecair (pelincir) di vagina yang berkurangan kerana badan lebih fokus kepada pengeluaran hormon prolaktine untuk susu ibu.

2. Keletihan – menguruskan bayi kecil adakala nya meletihkan terutama bagi bayi yang asyik meragam diwaktu malam menyebabkan ada ibu-ibu yang tidak cukup tidur.

Selain dari itu, pasti ada yang merasa was-was dan takut luka cesarean akan terbuka atau terasa sakit. Jika luka cesarean telah lebih dari 2 bulan, biasanya tiada masalah. Tetapi jika memang terasa sakit sewaktu hubungan kelamin, pergilah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Anda boleh meminta doktor untuk scan bahagian luka cesarean untuk memastikan tiada sebarang masalah dan komplikasi.

Untuk rujukan, Ina boleh refer kepada posting yang lepas di sini >> Hubungan kelamin selepas bersalin <<

Berkenaan dengan makanan sewaktu didalam pantang selepas bersalin cesarean, seleok-eloknya elakkan dari mengambil makanan laut, kekacang dan makanan yang boleh menyebabkan luka bernanah. Pengambilan Vitamin tambahan sepeti kalsium (atau boleh juga gantikan dengan susu dan yogurt), multi vitamin dan vitamin C sangat digalakkan untuk diambil selepas bersalin cesarean.

Harap jawapan diatas membantu Ina 😉

Kak Faz

Hubungan kelamin selepas bersalin

Salam 🙂

Hari ini saya ingin berkongsi artikel yang dipetik dari Utusan Malaysia keluaran 6/1/2008.

Selamat membaca 🙂

Oleh: PROF. MADYA DR. SHAH REZA JOHAN NOOR (Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)

DI kalangan wanita Kelantan, lazimnya mereka tidak melakukan hubungan kelamin selama 100 hari selepas bersalin.Apabila ditanya kenapa, tidak ada jawapan khusus kerana ianya hanya amalan turun- temurun dari emak kepada anak.

Walaupun tidak melakukan hubungan kelamin, mereka tidur bersama suami.Kecekalan serta daya tahan ini memerlukan dedikasi yang padu dan dari segi perancangan keluarga, ini amat memberangsangkan.Lain bangsa lain pula amalan mereka dan tiada pula bukti yang menyokong kenapa setiap amalan diteruskan.

Walau bagaimanapun, tempoh sebegini boleh dikatakan bagus sebab wanita sempat mengembalikan kecergasan fizikal selepas penat bersalin dan mengandung selama 40 minggu.Suami sepatutnya lebih arif serta memahami tugas serta tanggungjawab baru sebagai seorang bapa.Hubungan suami isteri kini bukan hanya melibatkan hubungan kelamin semata-mata, ianya lebih dari itu!

Walaupun hubungan kelamin semasa mengandung yang kerap, aktif dan menyeronokkan TETAPI lain pula selepas bersalin. Hubungan kelamin bukanlah agenda utama sekarang dan ini akan berlarutan untuk beberapa julat masa yang agak lama kelak.

Proses kelahiran merupakan aktiviti fizikal yang amat meletihkan. Bayangkan isteri terpaksa menahan kesakitan serta kontraksi rahim untuk berjam-jam lamanya, sama seperti pelari maraton semasa menyertai Sukan Olimpik!

Tentulah isteri akan keletihan serta kelesuan, apatah lagi apabila diberi ubat penahan sakit jenis narkotik semasa proses kelahiran. Kemuncak emosi berlaku apabila melihat bayi yang dilahirkan sihat serta selamat.

Badan isteri (kini ibu) akan mengambil masa untuk pulih kembali, terutamanya selepas mengalami beberapa perubahan hormon semasa mengandung.Adaptasi serta fokus isteri kini bertumpu sebagai seorang ibu dan mula menampakkan keanggunan paling menyerlah seorang wanita.

Tempoh selepas bersalin dikenali sebagai “POSTPARTUM” dan kehadiran ‘si sayang’ baru menambahkan lagi keberkesanan perhubungan serta komunikasi suami dan isteri.Kemaskini cara berkomunikasi bersama sebelum agenda hubungan kelamin dimulakan kembali.Suami tentu faham akan tanggungjawab masing-masing terhadap si kecil dan juga sesama sendiri.

Kerana kesibukan tanggungjawab baru, mungkin seorang ibu terlupa akan tanggungjawab isteri dalam hubungan kelamin. Ingat, penyusuan badan merendahkan hormon estrogen dari ovari dan ini menyebabkan suasana dalaman faraj kering. Jadi sekiranya hubungan kelamin dilangsungkan, pastikan cecair pelincir digunakan, mungkin juga isteri serta suami boleh melambatkan hubungan kelamin (zakar-faraj) dengan meningkatkan aktiviti sentuhan atau cumbuan.

Mungkin isteri juga akan perasan yang garis pusat faraj serta kontraksi otot-otot di sekitarnya tidak sekuat sebagaimana sebelum bersalin. Jangan runsing kerana dengan penyusuan badan serta latihan senaman khusus di bahagian pinggul dan perineum akan mengembalikan struktur asal faraj dengan lebih berkesan.

Sekiranya isteri masih tidak berpuas hati, boleh juga berjumpa dengan doktor untuk nasihat lanjut.

Nasihat doktor

* Hubungan kelamin mempunyai kebaikannya tersendiri.Hormon yang dikeluarkan semasa hubungan kelamin dapat mencepatkan lagi proses penyembuhan setelah bersalin.

* Begitu juga dengan penyusuan melalui payudara yang dapat mengembalikan rahim kepada saiz asalnya dengan lebih cepat.

* Ada doktor yang menasihatkan supaya berehat dari hubungan kelamin selama enam minggu tetapi sebenarnya nasihat ini tidak mempunyai bukti kukuh bagi menyokongnya. Ada pula doktor yang nasihatkan supaya berehat di antara tiga hingga enam minggu, bergantung kepada tempoh:

* Berhentinya pendarahan dan discaj selepas bersalin.

* Penyembuhan luka dari episiotomi (guntingan) di faraj semasa proses kelahiran.

* Penyembuhan dari pembedahan caesarean.

Beberapa sebab lain juga boleh menyebabkan keinginan hubungan kelamin menurun seperti:

* Keletihan dan kelesuan dari tanggungjawab baru; setiap kelahiran merupakan pengalaman baru.Banyakkan minum air serta makan makanan yang berkhasiat.

* Ketegangan dan rasa tidak selesa; mungkin kesakitan dari tempat jahitan episiotomi dan juga di abdomen dari kelahiran caesarean.Senaman ringkas khas untuk mereka selepas bersalin juga boleh mengurangkan ketegangan.

* Menyusu badan; menyebabkan cairan lubrikasi (pelincir) di faraj menurun sehingga faraj menjadi kering dan berasa sakit ketika hubungan kelamin. Cecair pelincir tiruan (alternatif) yang boleh didapati di farmasi boleh digunakan untuk mengelakkan kekeringan.

* Beranggapan bentuk badan sekarang tidak menarik; berat badan bertambah dan kulit pula menampakkan belang-belang di bahagian abdomen (selalunya berlaku di kalangan orang Malaysia kerana mempunyai pigmen warna kulit yang lebih banyak).

* Cemas dan waswas tentang peranan sebagai ibu; akibat melihat si comel yang begitu lemah serta sensitif.

* Fokus terganggu dengan bunyi tangisan si comel; langsung mengganggu aktiviti kelamin.

* Suami juga dipengaruhi oleh faktor-faktor sama dengan isteri; suami mungkin tidak bersyahwat dan langsung tidak berupaya untuk hubungan kelamin.Jangan bimbang, sama-samalah berbincang dan hadapi setiap hari bersama.

* Takut ‘termengandung; isteri serta suami mungkin tidak bersedia untuk seorang lagi si comel dalam masa terdekat.

Sekiranya ibu menyusu badan secara 100 peratus (tidak amalkan susu formula), proses ovulasi mungkin berlaku selepas tiga bulan. Bagaimanapun, sekiranya pengenalan susu formula dilakukan bertindih dengan penyusuan badan, ovulasi mungkin berlaku hanya selepas tiga minggu.

Sekiranya penyusuan badan tidak dilakukan sepenuhnya, haid isteri mungkin akan kembali pada minggu keempat. Secara langsung, mungkin diamati sebagai darah dari proses bersalin yang tidak lagi berhenti dan tiba-tiba jumlahnya banyak dari biasa.

Jadi isteri perlu berbincang dengan suami akan kaedah terbaik kontraseptif (perancangan keluarga) atau berjumpa dan bertanyakan doktor atau jururawat semasa lawatan susulan bayi.

Penggunaan kondom adalah cara terbaik untuk peringkat ini memandangkan isteri sedang menyusu badan. Sekiranya isteri ingin mengambil ubat kontraseptif, pil yang mengandungi progesteron sahaja yang terbaik sebab ianya tidak mengurangkan jumlah susu. Untuk alat dalam rahim pula, pastikan terlebih dahulu yang saiz rahim telah kembali ke saiz seperti sebelum mengandung.

Untuk seketika selepas bersalin, paras hormon estrogen serta progesteron akan jatuh dengan mendadak.Ibu akan mengalami keadaan seperti putus haid terutamanya pada kawasan sekitar faraj.

Kadar pH faraj pula akan meningkat dan sel-sel yang melindungi faraj dari iritasi juga berkurang.Ini akan menyebabkan ibu terdedah pada gangguan serta iritasi dari sabun atau cecair pencuci faraj lain.Jangkitan kuman pada faraj juga mudah berlaku pada waktu ini, apatah lagi dengan kehadiran darah dan juga lelehan. Jadi berhati-hatilah dengan bahan pelincir ataupun jenis kondom yang digunakan.

Penjagaan perineum amat penting selepas kelahiran kerana perineum adalah bahagian tubuh wanita yang berada di antara faraj dan dubur. Kawasan ini perlu sentiasa bersih dan kering bagi mempercepatkan lagi proses penyembuhan dan mengelakkan sebarang jangkitan.

Tangan juga perlu dibasuh setiap kali menukar tuala wanita dan memastikan kawasan ini kekal kering dengan menyapu dari depan ke belakang menggunakan tuala atau tisu bersih. Penjagaan rapi dapat mengelakkan kuman dari bahagian dubur daripada merebak ke kawasan luka.

Jahitan yang dibuat pada episiotomi ketika melahirkan anak biasanya akan hilang dalam masa dua minggu jika tiada sebarang jangkitan kuman.

Dalam pada itu, ada juga ibu-ibu yang mengalami perubahan emosi selepas bersalin yang turut menyukarkan hubungan kelamin. Kemurungan akan dibebankan lagi dengan tanggungjawab baru sebagai seorang ibu sementara perubahan masa serta perubahan hubungan dengan suami serta anak.Perasaan juga mungkin terganggu dengan perubahan hormon yang berlaku pada badan.

Adalah tidak janggal untuk seorang ibu merasakan cemas, kurang tidur, rasa keresahan serta kemurungan sehingga kadangkala mungkin menangis, sedih dan mudah terguris. Suami harus memahami perubahan yang dilalui oleh isteri.

Semua ini adalah normal sekiranya berlaku dalam masa dua minggu pertama dan akan segera hilang apabila penyesuaian dengan persekitaran baru berlaku. Bagaimanapun, jika masih berterusan, berbincanglah dengan doktor untuk nasihat lanjut.

Harap artikel diatas bermanfaat ye 😉

Kak Faz