Assalamualaikum dan salah sejahtera,
Semasa isteri di dalam pantang, suami perlu kuat semangat. Ketahuilah semasa ini, isteri sangat memerlukan suaminya untuk menjaganya dengan baik. Bukan sekadar fizikal, ianya termasuklah mental dan emosi.
Ada ibu yang boleh meroyan kerana sangat letih. Maklumlah, rutin bertukar. Tidur malam terganggu, maka bila setiap malam tidak dapat rehat, maka minda senang menjadi terilusi.
Perkara ini sangat penting, encik suami kenalah lebih prihatin menjaga isteri anda barulah emosi isteri anda stabil masa dalam berpantang.
Antara 9 tips yang ada boleh buat ketika isteri berpantang ialah
1. Bangun lebih awal
Para suami, bangunlah lebih awal sebelum isteri bangun dari tidur selama tempoh berpantang. Sediakanlah air mandian untuk isteri anda. Rebuskan daun-daun kayu untuk air mandian si isteri. Biasanya seminggu pertama, digalakkan mandi air rebusan daun ini untuk kembalikan kesegaran badan. Kalau susah nak jumpa daun-daun ubat untuk mandian, cukuplah sekadar menyediakan air suam
untuk mandian isteri.
2. Sediakan sarapan
Sediakan sarapan untuk isteri seawal mungkin. Kalau tak dapat sediakan sarapan yang agak berat, memadai segelas milo dan roti bakar. Pasti isteri anda rasa amat dihargai.
3. Mandikan bayi anda
Cubalah belajar untuk mandikan bayi anda. Kalau anda tiada kemahiran mandikan bayi, sekurang-kurangnya bantulah isteri, ibu atau mentua sediakan air mandian.
Bayi biasanya dimandikan dengan air suam untuk elakkan hypothermia. Pada peringkat awal, kawalan suhu badan
bayi masih lemah.
4. Bantu isteri uruskan anak yang lain
Jika kelahiran ini bukan kelahiran yang pertama (maksudnya sudah ada 1-2 anak sebelumnya), pastikan segala urusan anak-anak itu diselesaikan. Biarkan si isteri berehat sepenuhnya dengan bayi yang baru dilahirkan. Urusan-urusan yang dimaksudkan merangkumi makan-minum, mandi, pakaian sehinggalah menidurkan anak.
5. Sediakan keperluan isteri
Sediakan keperluan-keperluan yang sering dianggap remeh, berhampiran dengan isteri seperti sebotol air minuman berserta gelas, tuala, bakul baju kotor, majalah dan buku kegemaran (untuk mengelakkan isteri merasa bosan).
6. Sentiasa berada di sisi isteri untuk menghulurkan bantuan apa-apa yang perlu.
7. Pastikan persekitaran isteri dan bayi sentiasa bersih dan kemas. Bantu isteri mengumpulkan pakaian kotor dan basuhlah pakaian-pakaian itu. Tidak susah sekiranya anda menggunakan mesin basuh. Yakinkan isteri tugasan membasuh, menjemur dan mengangkat pakaian boleh dilakukan oleh anda. Setakat melipat tu, tidak apalah dilakukan oleh isteri sebab ia termasuk dalam kategori kerja ringan.
8. Sungguhpun anda letih, jangan ditunjukkan depan isteri. Isteri perlukan semangat untuk pulih dari kesan-kesan melahirkan.
Jika suami tiada semangat, sentiasa lesu dan lemah, isteri akan rasa sedih dan mungkin menggalakkan terjadinya kemurungan atau post-partum depression.
9. Ikhlaskan diri menjaga isteri anda kerana dia adalah amanah.
Jika sebelum ini isteri menghabiskan lebih 365 hari dalam setahun menjaga makan minum, pakaian anda dan anak2 lain, apa salahnya memanjakan dia hanya untuk tempoh 44 hari berpantang. Inilah masanya anda buktikan cinta dan kasih sayang anda padanya.
Harap perkongsian ini berguna untuk anda ye.
Wasalam.