Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Apa khabar anda semua…? Hari ni nak share sikit tips pasal naik kapal terbang masa hamil. Walau pun cuti hujung tahun baru je habis, tapi tak lama lagi cuti raya china pula. Pasti ada yang nak berjalan-jalan ke negara lain untuk bercuti dan rehatkan minda.Sebelum anda bercadang nak melancong yang memerlukan anda menaiki kapal terbang, pastikan anda memeriksa tahap kesihatan anda dengan doktor terlebih dahulu sekiranya anda mempunyai masalah kehamilan seperti berikut:
-
Pendarahan Ringan (spotting)
- Kencing Manis
- Tekanan Darah Tinggi
- Mabuk Hamil yang Teruk (Hiperemesis Gravidarum)
- Pernah mengalami Ke guguran
- Pernah melahirkan B ayi Pramatang
Trimester Pertama dan Kedua
Dalam Trimester pertama dan kedua, jika terdapat komplikasi dalam kehamilan anda seperti terdapat tompokan darah di faraj, kencing manis, tekanan darah tinggi atau anda pernah mengalami kelahiran awal, periksalah dengan doktor anda sebelum membuat perjalanan. Dapatkan khidmat nasihat dari doctor untuk mengelak sebarang masalah yang mungkin berlaku.
Ramai pakar menyarankan waktu yang paling sesuai membuat perjalanan adalah pada trimester kedua(minggu ke-14 hingga ke-27), sebab pada masa ni mabuk hamil dah berlalu, tenaga pun dah ada semula dan risiko keguguran adalah lebih rendah. Bila risiko dan mabuk-mabuk dah tak ada, bolehlah anda menikmati percutian dengan tenang di samping orang tersayang. Bagi mereka yang baru pertama kali hamil, nikmati percutian ini sebab pada waktu ni anda tak perlu bawa banyak barang seperti kerusi bayi, kereta sorong, lampin atau barang permainan.
Dapatkan Maklumat Polisi Penerbangan daripada Syarikat Penerbangan Anda
Setiap syarikat penerbangan mempunyai polisi berlainan, jadi tanyalah agen anda mengenai sekatan-sekatan tertentu apabila anda menempah tiket. Jangan lupa mengenai perjalanan balik juga. Sebagai tambahan,
wanita hamil
tidak sepatutnya menaiki pesawat kecil yang tidak mempunyai kabin tekanan.
Sesetengah syarikat penerbangan tidak membenarkan wanita yang hamil selepas minggu ke-28 untuk menaiki pesawat kerana risiko kelahiran pramatang . Agen-agen yang menjual tiket tidak akan bertanya sama ada anda sedang hamil atau sebaliknya apabila anda menempah tiket, tetapi anda mungkin akan ditanya bilakah tarikh anda dijangka bersalin semasa anda hendak masuk ke dalam pesawat.
Sebenarnya, syarikat penerbangan boleh melarang anda daripada menaiki pesawat jika mereka bimbang mengenai tahap kesihatan dan kehamilan anda. Oleh itu, lebih baik jika anda dapatkan kebenaran bertulis dari doctora untuk mengesahkan bahawa anda selamat untuk membuat perjalanan tersebut dan juga untuk mengelakkan kelewatan. Surat tersebut perlu menyatakan bahawa anda telahpun diperiksa oleh doktor dan tiada kemungkinan untuk sakit bersalin dalam masa 72 jam yang akan datang, dan juga bahawa anda sihat untuk membuat perjalanan tersebut.
Keselesaan Dalam Penerbangan
Pastikan anda selesa dan sentiasa tenang ketika dalam penerbangan kerana duduk di kerusi pesawat dalam penerbangan yang panjang boleh jadi tidak menyelesakan, terutamanya jika anda sedang hamil. Fikirkan juga mengenai kemungkinan situasi kecemasan dari segi perubatan. Adakah anda mahu risiko mendapat kontraksi awal berlaku? Jika boleh, anda harus mengelak dari mengunjungi tempat-tempat di mana perkhidmatan kecemasan tidak didapati dengan mudah.
Membuat perjalanan dengan kapal terbang semasa hamil boleh meningkatkan sedikit risiko mengalami thrombosis (darah beku) dan urat simpul (vena varikos). Memakai stoking sokongan (bukan seluar ketat yang mana boleh meningkatkan risiko mendapat jangkitan thrush) semasa menaiki pesawat boleh membantu melancarkan peredaran darah dan mengurangkan bengkak pada salur darah.
Walaupun thrombosis jarang berlaku di kalangan wanita Malaysia, anda harus cuba bangun dan berjalan-jalan semasa dalam perjalanan yang jauh.
Jangan Rosakkan Mood Anda Semasa Penerbangan?
Maklumkan kepada kakitangan penerbangan bahawa anda sedang hamil dan tanya sekiranya anda boleh dinaik taraf ke kelas yang lebih tinggi di mana ruangnya lebih besar dan anda boleh mendapat layanan yang lebih istimewa. Jika ini tidak dapat dilakukan, anda masih boleh menikmati penerbangan tanpa stres dengan cara:
- Tiba awal di lapangan terbang supaya anda mempunyai banyak masa untuk mendaftar masuk dan melepasi kawasan keselamatan lapangan terbang. Jika anda rasa anda perlu bergegas ke pintu pelepasan, anda tidak akan rasa tenang dan ini bukanlah permulaan yang baik.
- Mintalah tempat duduk bersebelahan lorong dalam kapal terbang supaya mudah bagi anda untuk bangun dan meregangkan kaki atau untuk pergi ke tandas.
- Pakai pakaian yang longgar dan selesa dan kasut yang selesa. Laraskan tali pinggang keselamatan di bawah perut, menyilangi pelvis anda.
- Pergilah ke tandas sebaik sahaja anda menaiki kapal terbang kerana bimbang kalau-kalau penerbangan tersebut terpaksa menunggu untuk berlepas dan anda tidak dibenarkan meninggalkan tempat duduk.
- Minum banyak air masak atau air mineral dan jus buah-buahan. Jangan minum sebarang minuman yang boleh menyebabkan anda ternyah hidrat seperti teh, kopi dan alkohol.
- Cubalah bertenang dan nikmati perjalanan dan percutian anda ini!
Okey, itu saja untuk kali ini. Hingga bertemu lagi di artikel akan datang ye.
Wasalam
Kak Faz
Tips Menaiki Kapal Terbang Semasa Hamil by fazidah
{ 0 comments… add one now }
Meta