Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Hari demi hari, perut ibu hamil akan mula membesar dan meregang. Malah, ada juga ibu hamil yang mula merasakan perutnya semakin membesar pada peringkat awal kandungan lagi.
Disebabkan oleh kandungan yang semakin membesar, otot abdomen meregang dan berlaku perubahan pada postur badan. Ia sekali gus memberi tekanan ke atas bahagian belakang dan menjadi punca kepada rasa sakit.
8 Tips Kurangkan Sakit Belakang Semasa Hamil
1. Postur badan yang betul
Pastikan postur badan anda betul ketika berjalan atau berdiri bagi mengelakkan tekanan ke atas tulang belakang. Postur ini membantu anda untuk meluruskan tulang belakang dan mengecutkan bahagian perut dan punggung.
2. Jangan berdiri lama
Elakkan berdiri terlalu lama dalam sehari. Jika anda perlu duduk terlalu lama di pejabat, pastikan anda bangun dan berjalan di sekitar ruang pejabat setiap jam.
3. Jangan menolak perut ketika berjalan
Berjalan dengan betul iaitu elakkan berjalan dengan menolak perut ke hadapan kerana lengkungan lumbar yang terhasil pada bahagian bawah sendi belakang badan boleh mengakibatkan kesakitan.
4. Sokong belakang dengan bantal
Gunakan bantal kecil untuk diletakkan pada bahagian bawah belakang bagi mengurangkan ketidakselesaan dan kesakitan.
5. Pakaian yang selesa
Pastikan anda mengenakan pakaian dalam yang selesa. Begitu juga pakaian secara keseluruhannya. Pastikan ia tidak ketat, sebaliknya longgar di bahagian depan.
6. Senaman ringan
Melakukan senaman ringan seperti menggerakkan anggota badan dan berjalan-jalan di sekitar rumah atau pejabat juga boleh dilakukan bagi mengurangkan sakit belakang.
7. Posisi tidur yang betul
Pastikan posisi tidur ibu adalah betul bagi mendapatkan rehat yang mencukupi. Sangga perut dan pinggang dengan bantal dan bersesuaian untuk menbantu anda tidur dengan lebih selesa.
8. Elakkan kerja kasar
Elakkan mengangkat benda yang berat dan kurangkan membongkok. Sebaiknya, mintalah pertolongan dari suami atau ahli keluarga yang lain sekiranya ada benda yang ingin diangkat.
Wassalam.
8 Tips Kurangkan Sakit Belakang Semasa Hamil by Wanie Farid