November 19th, 2008 at 6:14am
Salam ceria
Hari in saya ingin berkongsi soalan yang telah dikemukan oleh salah seorang pelanggan bengkung moden yang bernama Yati.
Soalan dan jawapan adalah seperti berikut :
Assalamualaikum, Kak Faz,
Saya dah ada anak empat org. Saya baru je bersalin anak ke-empat secara pembedahan pada 9/7/08.
Untuk pengetahuan Kak Faz, anak yg sulong- bersalin secara normal, anak kedua, ketiga dan keempat secara pembedahan. Sekarang ni saya dah ikat.
Sekarang ni anak saya dah 4 bulan lebih, boleh tak saya start buat senaman sit-up, senam Aerobic atau berlari naik- turun tangga. Kalau still tak boleh lagi, apa contoh-contoh senaman yg saya boleh buat sekarang.
Harap Kak Faz boleh membantu.
Wasalam.
~ Norhayati Bt Ombi ~
Waalaikummussalam Yati,
Terima kasih atas soalan berkaitan senaman selepas bersalin cesarean dan tahniah atas kelahiran cahaya mata ke 4.
Nampaknya sejarah bersalin Yati lebih kurang sama dengan akak - bersalin normal anak pertama, cesarean utk anak no. 2 dan seterusnya. Cuma bezanya akak baru ada 3 anak… yang ke 4 tak tau lah ada ke tak
Okey, berbalik kepada soalan Yati, sebaik-baiknya untuk bersenam, mulakan dengan senaman yang ringan dahulu seperti pusingkan kaki, tangan dan kepala dan juga senaman menarik dan hembus nafas. Kalau nak jogging dan lari naik turun tangga dah boleh dah sebab dah lepas 4 bulan bersalin cesarean. Cuma pastikan senaman ringan dilakukan setiap kali sebelum mula berjogging
Cuma untuk sit up, Yati boleh mulakan sikit-sikit dan secara perlahan-lahan dulu dan perhatikan sama ada terasa sakit atau tidak dibahagian luka cesarean. Kebiasaannya luka pembedahan menjadi kuat selepas 2 bulan bersalin dan sembuh sepenuhnya selepas 3 bulan. Senaman sit up memberi banyak tekanan dibahagian perut dan jika terasa sakit apabila melakukan sit up.. STOP.
Juga, ingin akak ingatkan, senaman kegel juga penting dan elok untuk diamalkan.
Untuk rujukan, Yati boleh lihat di link ini >> klik sini <<
dan di sini >> klik sini <<
Harap jawapan diatas membantu

Kak Faz

November 18th, 2008 at 6:10am
Salam pembaca blog dan subscriber BengkungModen.com
Ya… baca tajuk diatas pun macam pelik ye
Sebabnya saya agak jarang menulis diblog ini sejak kebelakangan ni dan subscriber di web bengkung moden pun dah lama tak dapat email newsletter saya.
Saya pun risau juga…. Sebenarnya saya kini sedang didalam proses menyiapkan website untuk nursing bra. Tinggal lagi beberapa perkara yang perlu disiapkan. Harap-harap minggu depan siaplah semuanya.
Tentang newsletter pula, saya kini sedang didalam proses memindahkan semua email address subscriber ke satu sistem. Jika semuanya okey, tak lama lagi anda akan dapat newsletter dari saya. Tapi sebelum tu, saya kena test dulu. Takut nanti salah setting, tak menjadi pulak… hu..hu..

Oh ya, selain dari itu, saya berharap sangat kepada semua yang telah memilik ebook Panduan Selepas Bersalin Cesarean agar dapatlah kiranya kalian memberikan feedback, komen dan cadangan untuk saya improve ebook saya. Segala pandangan dan cadangan anda sangat saya hargai. Nak bagi testimoni pun boleh
Yang teruja
Kak Faz

November 10th, 2008 at 6:30am
Salam semua
Hari ini saya ingin berkongsi satu artikel soal jawab yang dipetik dari akhbar Berita Harian. Saya merasakan artikel ini merupakan satu informasi yang berguna kerana saya sendiri pernah mengalami satu kejadian berkaitan dengan Hepatitis B sewaktu bersalin anak pertama dahulu dimana seorang ibu telah tidak memaklumkan kepada pihak hospital bahawa beliau adalah pembawa Hepatitis B. Akibat dari itu, bayi beliau telah ditahan dan ditempatkan dibilik rawatan kerana tidak menerima suntikan selepas dilahirkan. Dan bukan itu sahaja… ibu muda ini sebenarnya telah membahayakan nyawa doktor, jururawat bertugas, ibu-ibu dan bayi lain yang juga bersalin diwaktu yang hampir sama kerana antara cara Hepatitis B merebak ialah apabila darah pembawa Hepatitis B terkena pada luka orang lain. Mujurlah saya tak bersalin dihari yang sama dengan ibu muda itu. Kalau tak, pasti saya pun ngeri juga
Apakah Hepatitis B?
Hepatitis B ialah keradangan hati yang menyebabkan hati membengkak dan terasa lembut, kadangkala ia membawa kerosakan hati yang kekal. Pembawa kuman Hepatitis B yang kronik mempunyai risiko 200 kali ganda untuk mendapat kanser hati berbanding mereka yang normal. Sebenarnya, di Malaysia sahaja terdapat kira-kira 1.3 juta pembawa kuman Hepatitis B. Mereka ini kelihatan sihat tapi sebenarnya mampu menjadi pembawa kuman virus. Dan tahukah anda, kuman Hetatitis B sebenarnya antara 50 ke 100 kali ganda lebih mudah dijangkiti berbanding HIV.
Bagi bayi yang mana ibu atau bapanya adalah pembawa Hepatitis B pula, jika tidak menerima suntikan akan mula menunjukkan simptom jangkitan yang akut (serius) dalam tempoh sebulan hingga 4 bulan selepas dijangkiti dan selalunya bayi yang diserang Hepatitis B adalah kronik.
Okey, kita lupakan pengalaman saya diatas. Ikuti artikel dibawah…
Soalan:
SUAMI saya pembawa Hepatitis B. Selepas berkahwin saya terlupa mendapatkan suntikan untuk virus itu. Ketika hamil, doktor memberitahu sepatutnya saya mendapatkan suntikan sebelum berkahwin dan memaklumkan saya perlu disuntik selepas bersalin.
Sehingga kini, selepas pantang, baru saya teringat mendapatkan suntikan itu. Bagaimanapun bayi kami sudah disuntik selepas dilahirkan. Adakah saya akan dijangkiti virus itu jika lambat mendapatkan suntikan? Doktor juga menasihatkan suami supaya menggunakan kondom selama-lamanya bagi mengelakkan jangkitan virus itu. Adakah ini bermakna kami tidak boleh mendapatkan anak lagi?
Puan Mariana.
Jawapan:
SALAH satu cara virus hepatitis B berjangkit adalah melalui hubungan seks. Jika suami pembawa virus hepatitis B, sebenarnya ada tiga kemungkinan dari segi status puan sendiri.
Mungkin masih belum dijangkiti virus walaupun terdedah dengannya.
Sudah dijangkiti virus tetapi tubuh berjaya menghapuskan virus.
Sudah dijangkiti virus, jangkitan sudah kronik dan puan sendiri menjadi pembawa virus.Cara menentukan keadaan puan adalah dengan menjalani ujian darah. Jika ujian menunjukkan masih tidak dijangkiti, puan sepatutnya menerima suntikan imunisasi secepat mungkin. Selepas suntikan sepatutnya ujian darah dilakukan semula untuk memastikan badan puan sudah menerima vaksin dengan sempurna. Sehingga keadaan itu diketahui, suami sepatutnya menggunakan kondom. Jika ujian darah menunjukkan kemungkinan kedua iaitu puan sudah dijangkiti tetapi badan puan dengan sendirinya telah menghapuskan virus, puan tidak perlu mengambil sebarang tindakan lain.Jika ujian darah menunjukkan puan sudah menjadi pembawa virus, hubungan dengan suami tidak menjadi isu lagi tetapi puan dan suami mesti menjalani ujian darah dari semasa ke semasa untuk menentukan status virus dan keadaan hepar (hati).
Pada satu ketika, puan dan suami mungkin memerlukan rawatan untuk jangkitan hepatitis B kronik. Dari segi mendapatkan anak pada masa depan, tidak terdapat sebarang halangan terhadap perkara itu asalkan bayi menerima suntikan vaksin hepatitis B mengikut jadual.
Jawapan disediakan oleh: Dr S Mahendra Raj, Pakar Perunding Gastroenterologi, Pusat Perubatan Pantai, Bangsar Kuala Lumpur.
Itu saja untuk kali ini. Jumpa lagi di artikel yang akan datang
Kak Faz

